Please leave your URL, will be "terjah" ur page

~~Ultrasound & Baby~~


PERSOALAN yang sering bermain di benak wanita yang pertama kali hamil ialah adakah mesin pengimbas (ultrasound) selamat untuk kandungan? Adakah perkembangan bayi dalam kandungan boleh terencat disebabkan mesin pengimbas itu?


Jawapan paling mudah ialah mesin ultrasound yang sudah digunakan dalam dunia perubatan lebih 30 tahun lalu, tidak memberi sebarang kesan buruk kepada kandungan.
Begitupun, hampir semua pengamal perubatan perbidanan dan sakit puan bersetuju pendedahan bayi dalam kandungan kepada mesin pengimbas jangan terlalu kerap dan lama. Ia juga harus dibuat berdasarkan keperluan dan kepentingan.


Sejak diperkenalkan, teknologi ultrasound sentiasa dipertingkatkan. Jika dulu ultrasound membabitkan 2D, tetapi kebelakangan ini ultrasound 3D dan 4D cukup popular.
Mungkin kebanyakan orang berpendapat, ultrasound hanya digunakan untuk mengetahui jantina anak.


Sebenarnya fungsi ultrasound lebih daripada itu. Ia digunakan pada awal kehamilan untuk menentukan viabiliti (memastikan bayi berada dalam rahim dan pergerakan jantungnya normal).


Selain itu, ia juga berupaya mengesan berapa jumlah kandungan dan menentukan usia kandungan untuk menganggarkan tarikh kelahiran (estimated date of delivery).
Dalam inovasi terkini ultrasound pula, 3D dan 4D memberi kelebihan dalam mengesan keabnormalan bayi dalam kandungan.


Pakar Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, Fetal Medicine & Gynaecology Centre, Dr S Raman, berkata ramai wanita di Malaysia hari ini berkahwin dan memulakan keluarga pada usia 30 tahun.


Justeru, pada usia ini, tahap kesuburan sebenarnya merosot dan risiko terhadap kelahiran bayi yang memiliki kesilapan kromosom (chromosomal disorder) agak tinggi.
Dengan imbasan yang dinamakan ‘nuchal scan’ (dilakukan antara 11 hingga 13 minggu kehamilan) ia digunakan untuk mengesan sindrom down.


Nuchal translucency (NT) menyukat ruang bawah kulit pada leher. Peningkatan dalam ukuran NT meningkatkan risiko sindrom down dan keabnormalan kardiak pada bayi. Dengan menggunakan parameter ini, 83 peratus sindrom down boleh dikesan menerusi imbasan.
Selain itu, menggunakan mesin ultrasound 3D juga, membolehkan kita melihat kelainan pada struktur bayi seperti bibir sumbing atau spina bifida (kecacatan pada tulang belakang).


Masalah bibir sumbing, polydactyl (memiliki lebih jari kaki), micrognathis (rahang besar sebelah), telinga yang tidak terbentuk dan lain-lain keabnormalan yang boleh dilihat dari segi luaran fetus lebih terbuka.


Begitupun, kualiti imej bergantung kepada keadaan bayi dan jumlah air ketuban di sekelilingnya.
Ada antara keabnormalan yang dilihat boleh diperbetulkan ketika bayi masih dalam kandungan. Bagi keabnormalan yang tidak boleh diperbetulkan, ibu bapa sekurang-kurangnya sudah bersedia secara mental.


Bagaimanapun, apakah imbasan menerusi 3D dan 4D menjadi kemestian kepada setiap wanita hamil atau sekadar keperluan ‘mewah’ yang sentiasa mencari jalan untuk menggoda pengguna?
Apatah lagi, kadar untuk imbasan 3D dan 4D dianggap mahal dan bukan boleh dipenuhi oleh setiap pengguna.


Kemunculan ultrasound dengan inovasi terkini bunyinya memang menguntungkan pihak pengguna. Bagi ibu bapa muda, melihat pergerakan, wajah dan mengikuti perkembangannya setiap bulan tentu saja mengujakan.Bagi ibu bapa yang pernah dikurniakan anak bermasalah dari segi fizikal, tentu saja 3D membuat mereka ingin tahu adakah kelahiran kedua akan sama seperti sebelum itu.


Teknik imbasan 3D juga dikatakan mengeratkan lagi kasih sayang antara ibu dan anak sebelum dia dilahirkan.


Begitupun, tidak semua pakar perbidanan menganggap ultrasound 3D atau 4D ini ‘mandatori’ dan bakal mengambilalih imbasan konvensional 2D. Ada sesetengah diagnosis masih boleh dibuat menerusi 2D.


Bagi ibu yang tidak memiliki rekod kelahiran atau kesihatan yang abnormal, kebanyakan mereka yakin akan melahirkan bayi sihat tanpa perlu imbasan menerusi 3D. Justeru, pilihan terbaik di tangan anda.

Post a Comment